fbpx

Perhubungan Jarak Jauh (PJJ)

Ada kenalan saya mesej, “apa nasihat apih kalau kahwin dan PJJ.”

Apabila saya ditanya soalan ini, saya senyum dan saya reply, “nanti ambo tulis artikel”.

Asal hubungan suami isteri adalah dekat, kena perlu berjauhan?

Kalau kahwin duk jauh-jauh, apa tujuan perkahwinan.

Itu lah antara kata-kata yang diucapkan kepada saya sebelum saya buat keputusan untuk berkahwin. Orang yang pernah lalui jalan, pasti lebih menjiwai apa yang berlaku.

Sifat manusia, selagi tidak tercucuk paku, selagi tidak masuk lubang, dia tidak berwaspada dan beringat.

Hubungan jarak jauh, satu ujian?

Setelah saya sendiri lalui jalan-jalan yang berliku, saya rasa perlu berkongsi perkara ini. Dahulunya apabila saya hadapi ujian hubungan PJJ, saya baca buku, saya rujuk ahli tentang kekeluargaan, saya bertanya kepada yang berpengalaman untuk cari jalan keluar.

Sebenarnya, tiada jawapan tepat untuk masalah ini. Ertinya, ia berbeza mengikut situasi pasangan tersebut. Ada yang berjauhan kerana kerja. Ada yang berjauhan kerana belajar. Ada berjauhan kerana kesihatan. Kiranya terlalu banyak sebab berjauhan, namun adakah ia baik untuk satu hubungan?

Kalau saya tidak menjawab soalan ini, kalian pasti tahu jawapannya. Secara asasnya ia tidak baik untuk satu hubungan. Hubungan jarak jauh ada kalanya mengerat hubungan. Saling rindu, teringat kepada pasangan itu adalah biasa. Sebaliknya ada kalanya hubungan jarak jauh menjauhkan lagi hubungan suami isteri, lebih-lebih apabila ada masalah keluarga.

Si suami menuntut hak suami, si isteri menuntut hak isteri. Dalam masa yang sama mereka berjauhan. Lalu kedua-dua mengatakan “buat apa kahwin? kahwin atau tak adalah sama, baik berpisah.”

Berfikiran beginilah yang bakal hancurkan hubungan suami isteri. Hasilnya si suami tidak dapat tunaikan tangunggjawab sebagai suami, si isteri pula tidak nampak peranan suaminya sebagai ketua keluarga. Kerana apa? kerana mereka berdua tidak nampak di depan mata.

Padahal, si suami penat lelah fikirkan cara untuk sara keluarga, si isteri bertarung emosi yang tidak tertanggung dengan kehidupan seharian. Si suami tidak nampak kelelahan si isteri dan si isteri tidak nampak kepenatan suami. Kedua-dua penat tanpa dihargai.

Kunci hubungan adalah komunikasi dan saling memahami.

Setiap orang ada situasi yang berbeza. Namun, hubungan suami isteri perlukan satu anak kunci yang mendekatkan antara keduanya. Kunci tersebut adalah komunikasi dan saling memahami. Antara rumah tangga yang gagal adalah berpunca daripada salah berkomunikasi dan salah faham.

Sebagai contoh kisah Ali ingin berkahwin dengan Aminah. Ali masih belajar tahun akhir dan Aminah sudah berkerjaya. Apabila kedua-dua bersetuju untuk berkahwin, maka Ali sudah tahu Aminah akan sibuk dengan kerjayanya dan Aminah sudah tahu bahawa Ali mempunyai sumber kewangan yang terhad. Rumah tangga tidak selalu indah, lalu berlaku konflik. Ali kata Aminah tidak tunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan Aminah kata Ali tidak tunaikan nafkah secukupnya. Apa kesudahannya? Perang dunia berlaku.

Ini berpunca dari salah komunikasi dan salah memahami.

Hubungan jarak jauh perlu kepada hadnya.

Inilah kesimpulan yang ingin saya simpulkan. Tidak salah PJJ, tetapi dengan syarat bincang bagi lumat dahulu. Hadkan tempoh PJJ dan cuba cari jalan keluar. Betapa ramai luar sana bercerai berai kerana PJJ. Saya pernah dengar suami curang dan isteri curang kerana PJJ.

Berusahalah jadi suami yang bersabar.

Berusahalah jadi isteri yang bersyukur.

Selagi ada ruang untuk bertolak ansur, maka buatlah, berbincanglah. Cari jalan yang terbaik untuk kedua-dua. Jangan pentingkan diri sendiri. Setakat ini penulisan kali ini, insyaAllah akan tulis lagi berkenaan hal ini.

Abu Nuha Nuwairah.

5 1 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top
Need help?