fbpx

Wahai Wanita Yang Bergelar Isteri!

Penulisan ini saya tujukan kepada isteri saya, semua sahabat saya atau isteri kepada sahabat saya khususnya. Walaupun saya bukanlah seorang wanita untuk tulis tentang hal ini, tetapi saya menulis atas dasar ambil berat terhadap kalian untuk mencapai redha Allah dan juga redha suami.

Penulisan ini barangkali sukar untuk diterima atau sukar untuk diamalkan. Namun begitu, dari sudut hati saya, saya ingin utarakan apa yang terbuku di hati. Islam mengajar saya untuk menerima nasihat dan memberi nasihat kerana nasihat itu umpama ubat, ia menyembuhkan penyakit yang ada.

Jikalau kalian merasakan nasihat ini tidak sesuai, kalian boleh abaikan sahaja. Mungkin nasihat ini belum “gah” lagi untuk mengetuk jiwa.

Wahai isteri,

Pernah kalian dengar hadith Nabi SAW : “Apabila seorang wanita solat fardhu 5 waktu, dan berpuasa (bulan Ramadan), menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, masuklah Syurga mana-mana pintu yang disukai”.

Allah akbar!

Hadith ni sahih wahai isteri. Maknanya ini jaminan Rasulullah SAW! Barangkali kalian berusaha baca Quran sebanyak mungkin. Barangkali kalian pergi umrah setiap bulan. Tetapi jaminan Syurga dengan mentaati suami adalah jaminan Rasulullah SAW. Beruntung sungguh!

Orang lelaki tidak semudah ini untuk masuk syurga. Banyak benda dihisab oleh Allah taala.

Wahai isteri,

Taatilah suami selagi ia tidak bercanggah dengan agama. Jangan silap faham yang kalian tidak perlu berbincang dengan suami dengan turuti sahaja. Saya tidak bermaksud begitu, bahkan berbincanglah dengan suami apa-apa perkara sekalipun.

Saya tahu ramai dalam kalangan kalian bekerjaya. Gaji jauh lebih tinggi daripada suami. Namun bukan tiket untuk kalian buat keputusan semua perkara. Rujuklah suami kalian dan bagi mereka peranan sebagai ketua. Kecik hati suami apabila banyak keputusan dibuat tanpa berbincang dahulu. Benda-benda kecil tiada masalah pun tetapi benda besar wajib berbincang.

Ya itu memang duit kalian. Si suami tidak berhak ambil satu sen pun dari duit itu. Cuma kalian perlu faham bahawa rumah tangga tidak terbina atas kasih sayang semata-mata bahkan ihsan (belas kasihan). Suami benarkan kalian keluar bekerja atas ihsan suami, dan isteri membantu suami atas ihsan isteri.

Itulah dipanggil pasangan hidup. Tidak guna si isteri menuntut hak dan suami menuntut hak. Jika dihitung kedua-dua, sudah pasti saling membanding siapa yang paling banyak memberi dan siapa yang banyak menerima.

Hancur rumah tangga kalian jika kedua-dua mengungkit pemberian. Percayalah kata-kata saya bahawa mengungkit dalam rumah tangga adalah satu racun.

Wahai isteri,

Jagalah pertuturan kalian. Ya, memang sukar. Saya tidak menafikan manusia ada sifat marah. Sering kali isteri marah suami. Itu perkara biasa. Suami pula jenis tidak alert dengan teguran isteri. Saya tidak mahu masuk campur dalam masalah kalian.

Cuma satu hal yang penting. Marah dan menghina itu dua perkara berbeza. Rasulullah SAW pernah marah isterinya (ketika menegur) tetapi Rasulullah SAW tidak menghina. Banyak kali saya dengar cerita apabila ramai isteri mengunakan kata-kata kesat dan menghina suami.

Jagalah mulut kalian. Marah jangan sampai menghina.

Wahai isteri,

Banyak kali lalu di wall facebook bahawa isteri tugasnya hanyalah layan suami. Memasak, lipat baju, mengemas rumah dan lain-lain boleh minta upah. Seperti yang saya bagitahu, rumah tangga asasnya adalah kasih sayang dan ihsan. Isteri bantu suami dan suami bantu isteri barulah harmoni rumah tangga. Jangan termakan dengan pemikiran begitu.

Wahai isteri,

Sehebat manapun kalian di luar sana. Kalian CEO, kalian jadi manager, kalian jadi boss syarikat, apabila kalian balik rumah kalian adalah seorang isteri. Jangan bawa perangai di tempat kerja dibawa balik ke rumah.

Bagilah peranan kepada suami sebagai ketua keluarga walaupun suami adalah seorang yang biasa-biasa sahaja. Kalian terima si suami sebagai seorang imam. Jadikan dia betul-betul imam. Makmun mendahului imam dalam solat pun batal solat tu, inikan urusan rumah tangga.

Wahai isteri,

Jika kalian ada masalah keluarga, pergilah kepada saluran yang betul. Pergi pejabat agama, pergi jumpa kaunseling dan cari jalan keluar. Jika jelas suami kalian jenis kaki pukul, tinggal solat, tak tunai tanggungjawab, silalah ke saluran yang betul.

Jika kalian tulis di facebook, tulis di dalam group whatsaap, satu dunia tahu masalah rumah tangga kita. Haru biru dibuatnya. Adakah masalah selesai? Tidak! Tidak akan selesai sama sekali. Rujuk orang tertentu untuk selesaikan masalah, tiada masalah insyaAllah. Cari orang yang betul.

Wahai isteri,

Semoga syurga buat kalian dengan jaminan Rasulullah SAW. Semoga Allah berkati kalian. Banyak lagi nasihat yang hendak diberitahu. Cuma inilah yang paling utama.

4.8 4 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top
Need help?