fbpx

“Jaga antara 2 kaki, masuk syurga!”

Satu ketika saya berada di dalam masjid universiti semasa berada di Riyadh dahulu, satu nasihat yang pertama kali saya mendengarnya dan masih berbekas di hati ini.

“Wahai saudaraku, jagalah antara 2 kaki dan jagalah antara 2 janggut, nescaya saudara akan masuk syurga.”

Bila mendengar kata-kata ini, fokus saya kembali untuk memahami apa yang disampaikan oleh imam masjid. Di saat itu, suasana masjid tenang dan syabab-syabab pun khusyuk mendengar nasihat tersebut.

Di dalam kepala saya memikirkan apa maksud “antara 2 kaki” dan “antara 2 janggut”. Terlintas jugalah ketika itu apa yang dimaksudkan.

Lalu imam meneruskan kalamnya dengan hadith Nabi SAW yang mulia:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ

Daripada Sahl bin Sa’d RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara janggutnya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.”

Hadith diriwayatkan oleh Sahih Bukhari nombor: 6474 berstatus hadis sahih.

Imam pun menjelaskan maksud hadith tersebut bahawa 2 janggut, janggut dan misai itu adalah mulut dan lidah serta 2 kaki adalah kemaluan.

Maka benarlah kata-kata Rasulullah SAW bahawa 2 perkara tersebut sangatlah susah dijaga. Barangsiapa yang mampu jaga kedua-duanya, maka baginya syurga.

Tuan puan, realiti pada hari ini sangat susah menjaga kedua-dua ini. Tidak kira orang agama ataupun tidak, semuanya tidak terlepas daripada melakukan kemaksiatan dengannya.

Kebanyakkan orang lelaki diuji dengan kemaluan dan kebanyakkan orang perempuan diuji dengan percakapan.

Pengajaran yang dapat kita ambil ialah:

  1. Allah SWT telah menciptakan syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi bagi setiap hamba-Nya. Orang yang melakukan amal kebaikan akan mendapatkan balasan syurga, sedangkan mereka yang melakukan amal kejahatan akan ditempatkan di neraka.
  2. Jaminan syurga diberikan kepada seorang Muslim yang mampu menjaga mulut, lidah, dan kemaluannya. Menjaga mulut berarti menghindari makanan dan minuman dari sumber yang haram. Menjaga lidah berarti menghindari dosa seperti mengumpat, memfitnah, mencaci, serta memperbanyak zikir, memohon keampunan, dan bertaubat dari dosa-dosa yang telah dilakukan. Selain itu, menjaga kemaluan berarti menghindari hubungan yang tidak halal dan yang diharamkan.
  3. Berhati-hatilah dengan lidah agar tidak tergelincir ke dalam dosa dan menjerumuskan diri ke dalam fitnah dengan pasangan yang bukan mahram. Kelembutan lidah yang tidak bertulang dapat membawa kepada dosa-dosa kemaluan dan lainnya. Lidah dapat menjadi sumber dosa yang menyebabkan seseorang masuk ke dalam neraka.

Kesimpulannya, sama-sama kita menjaga antara 2 kaki dan juga antara 2 janggut ini, tidak kira lelaki ataupun perempuan. Semoga Allah jaga kita semua.

5 3 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Scroll to Top
Need help?