Seusai solat zohor, seperti biasalah saya akan selesaikan beberapa perkara di dalam pejabat Yayasan Pondok Sungai Durian. Saya buat setakat mana yang boleh, kadang-kadang saya sambung buat di rumah. Iyalah, benda editing ini kadang-kadang dah tepu untuk teruskan waktu zohor.
Kebetulan hari tu kami dijemput ke majlis kesyukuran perkahwinan staf PSD, saya bersama beberapa sahabat saya. Satu benda yang dinasihati teringat sampai sekarang iaitu pesanan Salman Al-Farisi kepada Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhuma yang kemudian disetujui oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam :
إنَّ لربِّكَ عليك حقًّا، وإنَّ لِنَفسكَ عليك حقًّا، ولأهلك عليك حقًّا، فأعْطِ كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ
”Sesungguhnya pada Rabb-mu ada hak yang harus anda tunaikan, dan pada dirimu ada hak yang harus anda tunaikan, dan pada diri keluargamu ada hak yang harus anda tunaikan, maka berilah setiap bagian akan haknya.” (HR. Bukhari ).
Apabila kita semua “relate”kan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian, kebanyakkan kita terlalu sibuk bekerja seolah-olah tiada hari esok. Kalau tidak sibuk kerja pun, bermedia sosial sehingga lupa tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Pertama, hak kita sebagai hamba. Kita lupa yang kita ada Allah yang perlu kita luangkan masa. Solat, zikir, baca Quran, tuntut ilmu. Ramai antara kita lupa hak Allah. Betulkan apa yang saya cakap?
Kedua, ke atas dirimu ada yang perlu ditunaikan. Hak badan untuk tidur, hak badan untuk makan minum, berehat. Ramai antara kita kerja sampai tak tidur, diet sampai lemah tubuh badan, dan banyak lagi perbuatan yang menzalimi diri sendiri. Betulkan?
Ketiga, ke atas keluargamu ada hak yang perlu ditunaikan. Ada orang kerja sehingga tidak ambil tahu langsung tentang anak isteri. Suami isteri kerja siang malam, anak membesar dengan bibik sehingga besar. Anak tidak dapat hak mereka, hak kasih sayang. Ada juga yang kuat beribadah sehingga anak isteri kelaparan di rumah. Tiada benda hendak dimakan. Realitinya betulkan?
Berapa ramai antara kita yang menzalimi ketiga-tiga sehingga merasakan hidup ini hanyalah semata-mata hidup untuk kerja atau semata-mata ibadah di masjid sahaja. Banyak kepincangan kefahaman beragama dalam masyarakat yang menyebabkan umat makin teruk dan terus rosak.
Hidup hilang berkat. Rahmat siapa lagi kita harapkan?
Abu Nuha Nuwairah,
Risau.