Umrah & Ziarah 26/1/2025 – 4/2/2025

Pendahuluan

Bismillah. Catatan ini saya dedikasikan untuk rombongan Datuk Yan sekeluarga. Di samping juga sebagai ingatan saya di dalam rehlah umrah dan jejak sirah yang sangat bermakna.

Rasa syukur yang tidak terhingga apabila direzekikan untuk kembali ke Haramain setelah 2 tahun lebih meninggalkan Arab Saudi. Kalau harapkan kewangan sekarang, memang agak mustahil untuk kembali lagi ke sana. Namun, dengan izin Allah jua, Allah rezekikan menjejaki lagi kampung halaman.

Rehlah ini bermula 24 Januari 2025 di mana saya bertolak ke Selangor dengan menaiki Batik Air (4.15 pm – 5.15 pm). Sesampai di sana, saya terus ambil Grab Car ke rumah Datuk Yan. Sesi taaruf dan penerangan ringkas perjalanan umrah disampaikan selepas Isya’.

25 Januari 2025, beberapa tugasan diberikan oleh Ummah Travel untuk diambil dan dibawa bersama. Semua berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa cabaran.

Ahad, 26/1/2025

Pada 26 Januari 2025, saya dan keluarga Datuk Yan akan berkumpul di KLIA Sepang pada jam 1.30 pagi +- di Aras 5 untuk proses check-in bagasi dan penerimaan boarding pass. Namun, kami terpaksa menunggu sehingga jam 4.30 +-, barulah kaunter untuk penerangan kami dibuka. Seperti biasa, kami mulakan perjalanan ini dengan doa dan mengharapkan Allah permudahkan segala urusan kami.

Penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 6.40 pagi (waktu Malaysia) menuju ke Jeddah dan tiba pada jam 10.50 pagi (waktu Saudi). Setibanya di Jeddah, saudara Furqan sudah menanti kehadiran kami. Perancangan awal kami terus ke Makkah, namun kami dimaklumkan oleh Ummah Travel untuk pergi ke Thaif terlebih dahulu.

Oleh sebab perjalanan kami akan ke Thaif, kami semua tidak berihram di atas langit. Satu catatan status saya berkaitan dengan niat berihram selepas melepasi miqat. Keadaan kami sedikit berbeza di mana kami tidak berniat ihram bahkan kembali kepada miqat asal iaitu Qarnul Manazil. Situasi kami lebih ringan berbanding yang sudah berniat ihram selepas melepasi miqat tetapi kembali ke miqat asal.

“Jikalau seseorang berniat ihram selepas melepasi miqat yang dilaluinya, maka dia dikenakan dam. Namun, jika dia mampu kembali ke miqat asal atau miqat lain sebelum melakukan tawaf umrah, maka gugur dam tersebut. Perkara ini disebut oleh Imam An-Nawawi.”

Perjalanan kami ke Thaif berjalan lancar dan tempat pertama kami ialah restoren Al-Mansseef Kitchen (lokasi). Kami dihidangkan dengan nasi mandi ayam dan kamping. Rating? Masing-masing kata sedap. Alhamdulillah.

Kemudian kami berbincang untuk ke Masjid Ibnu Abbas (lokasi). Sedikit sirah berkenaan Abdullah ibn Abbas RA:

Abdullah bin Abbas RA atau lebih dikenali sebagai Ibnu Abbas, adalah antara sahabat dan ulama besar di kalangan generasi awal Islam. Berikut adalah beberapa fakta penting tentang beliau:

  • Beliau dilahirkan tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah ke Madinah, dan merupakan sepupu Rasulullah SAW kerana bapanya, Abbas bin Abdul Muttalib, adalah bapa saudara Baginda.
  • Sejak kecil, beliau telah berada di sisi Rasulullah SAW dan sentiasa belajar daripada Baginda. Ibnu Abbas sering mengikuti Baginda dan mencatat apa sahaja yang dipelajarinya.
  • Ibnu Abbas terkenal dengan kebijaksanaan dan kefahaman yang mendalam dalam tafsir Al-Quran. Disebabkan ilmunya yang luar biasa, beliau diberi gelaran “Habrul Ummah” (Ulama Umat Islam) dan “Turjumanul Quran” (Penterjemah Al-Quran).
  • Beliau banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW dan menjadi rujukan utama dalam kalangan para sahabat selepas kewafatan Baginda.
  • Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Ibnu Abbas berkhidmat sebagai penasihat kepada beberapa khalifah seperti Saidina Umar Al-Khattab RA dan Saidina Uthman RA.
  • Khalifah Umar RA sering merujuk kepada beliau dalam perbincangan berkaitan hukum-hakam kerana keilmuannya yang mendalam dalam tafsir Al-Quran dan hadis.
  • Ibnu Abbas juga dikenali sebagai seorang yang gigih dalam berdakwah dan menyebarkan ilmu ke seluruh pelosok dunia Islam.
  • Ibnu Abbas RA menghabiskan sisa hidupnya di Taif, Arab Saudi. Beliau wafat dalam usia hampir 71 tahun, dan dimakamkan di kawasan yang kini dikenali sebagai Masjid Ibnu Abbas.

Setelah ziarah Masjid Ibnu Abbas, kami terus ke Qarnul Manazil (lokasi) untuk bersiap di sana. Apabila kami berbincang, kami ambil keputusan untuk mengambil hotel/bilik di sekitar Qarnul Manazil untuk lebih mudah dan dapat rehat seketika.

Selepas bersiap, kami terus ke Makkah. Setelah check in hotel, letak segala barang kami, kami terus ke Masjid Haram untuk tawaf umrah. Ini bahagian yang agak mencabar di mana Afi, Sofia dan Aryan, anak-anak Datuk Yan juga bersama-sama melengkapkan tawaf umrah.

Jumlah jemaah umrah dari seluruh dunia berkongsi ruangan yang sama untuk mengelilingi Kaabah. Posisi kami semasa tawaf telah kami putuskan di mana saya berada di bahagian depan, Afi, Aryan dan Datuk Yan berada di barisan pertama. Kak Farra, Kak Siti, Sofia dan Datin Salmiah berada di barisan kedua.

Dengan izin Allah taala, tawaf kami selesai dengan jayanya. Setelah minum Air Zam-Zam dan solat 2 rakaat tawaf, kami terus ke bahagian saie. Disebabkan masing-masing dah penat, kami ambil buggy untuk saie. Setelah saie, kami bertahallul, maka secara rasminya berakhirlah umrah kami. Alhamdulillah.

Isnin, 27/1/2025

Jejak sirah kami bermula jam 8.30 pagi dengan menziarahi Perkuburan Ma’la. Sebelum itu, Ustaz Ihsan dan Dr Abu Anas Madani membuat perkongsian di Masjid Jin.

  • Masjid Jin dikaitkan dengan kisah Rasulullah SAW yang sedang solat di tempat ini ketika sekumpulan jin datang mendengar bacaan Al-Quran Baginda.
  • Jin yang mendengar bacaan tersebut terpesona dengan keindahan dan keagungan ayat-ayat Allah sehingga mereka beriman kepada Islam.
  • Allah SWT telah merakamkan peristiwa ini dalam Surah Al-Jin (Surah ke-72) yang mengisahkan bagaimana sekumpulan jin mengakui keesaan Allah dan menerima ajaran Islam.
  • Antara ayat yang merakam peristiwa ini ialah: “Katakanlah (wahai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (bacaan Al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar bacaan Al-Quran yang menakjubkan. Ia memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu dengan Tuhan kami.”
    (Surah Al-Jin: 1-2)
  • Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa selepas mendengar Al-Quran, jin yang hadir meminta Nabi Muhammad SAW untuk mengajar mereka tentang Islam.
  • Rasulullah SAW melantik Syam’mas sebagai pemimpin jin Muslim untuk menyampaikan Islam kepada kaum jin yang lain.

Kemudian kami berjalan kaki ke Perkuburan Ma’la. Kami baca doa:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ وَالمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ، نَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ العَافِيَةَ

Terjemahan: “Salam sejahtera ke atas kalian, wahai penghuni kubur daripada kalangan orang beriman dan Muslimin. Kami juga insyaAllah akan menyusuli kalian. Kami memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan kalian.”

Perkuburan Ma’la, juga dikenali sebagai Jannatul Ma’la, adalah salah satu tanah perkuburan paling bersejarah dalam Islam. Antara tokoh yang disemadikan di sana ialah:

  • Siti Khadijah RA – Isteri pertama Rasulullah SAW dan ibu kepada anak-anak Baginda. Beliau adalah wanita pertama yang beriman kepada Islam dan banyak berkorban dalam menyebarkan dakwah Rasulullah SAW.
  • Abdullah bin Zubair RA – Cucu kepada Saidina Abu Bakar RA dan anak kepada Asma’ binti Abu Bakar. Seorang sahabat yang sangat berani dan pernah menjadi pemimpin di Hijaz semasa zaman fitnah.
  • Abdul Muttalib – Datuk Rasulullah SAW yang membesarkan Baginda setelah kematian ibu dan ayahnya. Beliau adalah pemimpin Bani Hasyim yang sangat dihormati di Makkah.
  • Abu Talib – Bapa saudara Rasulullah SAW yang sangat banyak membantu Baginda dalam berdakwah, walaupun tidak sempat memeluk Islam sebelum wafat.
  • Ibu kepada Saidina Ali RA (Fatimah binti Asad) – Wanita yang membesarkan Rasulullah SAW selepas kewafatan ibu Baginda. Antara wanita yang awal menerima Islam.

Kemudian kami berpeluang melawat Museum Al-Hamoody (lokasi), sebuah muzium yang menyimpan pelbagai koleksi berkaitan sejarah Islam. Menariknya museum ini, para pelawat dibenarkan untuk sentuh, pakai dan sebagainya.

Lawatan seterusnya ialah Hudaibiyah, tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah, yang menjadi titik perubahan dalam sejarah Islam. Antara fakta penting yang menarik ialah:

  • Rasulullah SAW telah menerima wahyu dan petunjuk untuk menziarahi Kaabah dan menunaikan umrah.
  • Baginda bersama para sahabat berangkat dalam keadaan ihram, membawa binatang korban sebagai tanda mereka datang dengan niat yang damai.
  • Pihak Quraisy tidak mahu membenarkan orang Islam memasuki Makkah kerana mereka beranggapan ia boleh mengancam kedudukan mereka sebagai penjaga Kaabah.
  • Quraisy menghantar pasukan tentera bagi menghalang umat Islam daripada memasuki kota suci itu.
  • Rasulullah SAW menghantar Uthman bin Affan RA ke Makkah untuk berunding dengan pemimpin Quraisy.
  • Berlaku berita palsu yang mengatakan Uthman telah dibunuh oleh Quraisy.
  • Mendengar berita itu, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan Baiah Ridhwan di bawah pokok sebagai tanda kesetiaan kepada Baginda untuk mempertahankan Islam.
  • Namun, akhirnya Quraisy bersetuju untuk berunding dengan Rasulullah SAW.
  • Setelah Quraisy melanggar perjanjian dengan menyerang sekutu Muslim (Bani Khuza’ah), Rasulullah SAW menggunakan alasan ini untuk menakluk Makkah tanpa pertumpahan darah.
  • Peristiwa ini dikenali sebagai Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah), yang akhirnya menjadikan Makkah sebahagian daripada wilayah Islam.

Setelah tamat jejak sirah, kami akhiri dengan makan tengah hari di Amsak Al-Durrah (lokasi). Kemudian kami kembali ke hotel dan berehat/aktiviti bebas.

Selasa, 28/1/2025

Jejak sirah seterusnya ialah ziarah Masjid Haram dan sekitarnya. Antara tempat yang kami sempat ziarah:

  • Darul Arqam (Rumah Arqam bin Abi Al-Arqam) – Sebelum ini terletak di sekitar Bukit Safa, tetapi kini telah menjadi sebahagian daripada Masjidil Haram.
  • Rumah Rasulullah SAW & Siti Khadijah RA – Rumah ini dahulunya terletak berhampiran dengan bukit Marwah.
  • Rumah Abu Bakar As-Siddiq RA – Dahulu terletak berhampiran Masjidil Haram di kawasan yang kini dikenali sebagai Hotel Hilton Tower Makkah.
  • Tempat Kelahiran Rasulullah SAW – Terletak kira-kira 200-300 meter dari Masjidil Haram. Kini dijadikan sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai Maktabah Makkah Al-Mukarramah.
  • Bukit Abi Qubais – Terletak di sebelah timur Masjidil Haram dan kini merupakan kawasan binaan istana raja Arab Saudi.
  • Safa dan Marwah – Terletak di dalam Masjidil Haram, di bahagian timur laut Kaabah. Jarak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah adalah kira-kira 450 meter, dan jemaah perlu berjalan ulang-alik sejauh 3.15 km untuk menyempurnakan 7 pusingan saie.
  • Darun Nadwah: Tempat Mesyuarat Kaum Quraisy – Terletak berhampiran Marwah, di bahagian utara Masjidil Haram.

Kami ingin teruskan ziarah ke dalam Masjid Haram, tetapi dihalang orang pihak masjid disebabkan kami bawa Air Wheel. Kami ambil keputusan untuk ke Hilton Tower dan ber”tea” arab di sana. Kemudian kami berehat di hotel masing-masing.

Malam hari pula, kami dijemput ke jamuan perdana makan Hasyi (baby unta) dan sedikit forum perdana bersama Dr Wifaq dan Dr Abu Anas di Muzdalifah. Namun takdir kami tidak jumpa tempat program. Akhirnya kami buat keputusan untuk ziarah Arafah, Muzdalifah dan Mina untuk mengetahui perjalanan haji.

Jom menyelusuri perjalanan Haji Nabi SAW:

Hari 1: 25 Zulkaedah 10H – Persiapan di Madinah.

  • Rasulullah SAW mengumumkan niat Baginda untuk menunaikan haji, lalu lebih 100,000 umat Islam berkumpul untuk mengikuti Baginda.
  • Baginda meninggalkan Madinah bersama rombongan para sahabat menuju ke Makkah.
  • Dalam perjalanan, Baginda membaca talbiah:
    لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ, لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ, إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ, لَا شَرِيكَ لَكَ
    (“Labbaikallahumma labbaik, labbaika laa syariika laka labbaik. Innal hamda, wan-ni’mata, laka wal-mulk, laa syariika lak.”)
    Maksudnya: “Aku datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

Hari 2: 4 Zulhijjah 10H – Tiba di Makkah & Tawaf Qudum.

  • Rasulullah SAW tiba di Makkah dan menuju ke Kaabah untuk melakukan Tawaf Qudum (Tawaf Selamat Datang) sebanyak 7 pusingan.
  • Seterusnya, Baginda melakukan Sa’i antara Bukit Safa dan Marwah.
  • Baginda kemudian menginap di Makkah beberapa hari sebelum bertolak ke Arafah.

Hari 3: 8 Zulhijjah 10H (Hari Tarwiyah) – Bergerak ke Mina.

  • Pada pagi 8 Zulhijjah, Rasulullah SAW bersama rombongan bergerak ke Mina.
  • Baginda dan para sahabat bermalam di Mina dan melaksanakan solat Zohor, Asar, dan Isyak secara qasar dan tanpa jamak.

Hari 4: 9 Zulhijjah 10H (Hari Arafah) – Wukuf di Arafah.

  • Pagi 9 Zulhijjah, selepas solat Subuh di Mina, Rasulullah SAW bergerak menuju Padang Arafah.
  • Di Arafah, Baginda berkhutbah di Masjid Namirah, yang dikenali sebagai Khutbah Wada’.
  • Antara isi penting Khutbah Wada’ ialah:
  1. Hak asasi manusia – Semua manusia adalah sama, tiada kelebihan bangsa Arab ke atas bukan Arab melainkan dengan ketakwaan.
  2. Hak wanita – Baginda mengingatkan umat Islam untuk menjaga hak wanita dengan baik.
  3. Larangan riba – Semua amalan riba dari zaman Jahiliyah dihapuskan.
  4. Pentingnya bersatu sebagai umat Islam – Baginda menegaskan supaya umat Islam tidak berpecah-belah selepas kewafatan Baginda.
  5. Islam telah sempurna – Allah menurunkan ayat terakhir dalam Surah Al-Ma’idah (5:3): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam sebagai agama kamu.”
  • Selepas khutbah, Baginda berdoa dan berwukuf di Arafah hingga matahari terbenam.
  • Baginda SAW melaksanakan solat secara qasar dan jamak iaitu Zohor dan Asar (jamak taqdim), manakala Maghrib dan Isya’ (jamak takhir).

Hari 5: 10 Zulhijjah 10H (Hari Nahr) – Bermalam di Muzdalifah & Melontar Jamrah.

  • Selepas Maghrib, Rasulullah SAW bergerak ke Muzdalifah dan bermalam di sana.
  • Baginda mengutip 7 biji batu kecil untuk digunakan bagi melontar Jamrah keesokan harinya.
  • Selepas solat Subuh di Muzdalifah, Baginda bergerak ke Mina untuk melakukan melontar Jamrah Aqabah (melontar 7 batu ke arah Jamrah terbesar).
  • Setelah itu, Baginda menyembelih seekor unta sebagai ibadah korban dan mencukur rambutnya.
  • Baginda kembali ke Makkah dan melakukan Tawaf Ifadhah, iaitu tawaf wajib dalam haji.

Hari 6-7: 11-12 Zulhijjah 10H (Hari Tasyrik) – Melontar Jamrah & Bermalam di Mina

  • Rasulullah SAW bermalam di Mina dan setiap hari Baginda melontar Jamrah Ula, Wusta, dan Aqabah (3 jamrah).
  • Pada 12 Zulhijjah, selepas selesai melontar, Baginda bergerak ke Makkah untuk melakukan Tawaf Wada’ sebelum meninggalkan kota Makkah.

Hari 8: 13 Zulhijjah 10H – Haji Selesai & Kembali ke Madinah

  • Rasulullah SAW menghabiskan hari terakhir di Mina dan melontar Jamrah untuk hari terakhir.
  • Baginda kembali ke Makkah sebelum bergerak ke Madinah.

Aktiviti malam berakhir dengan baik dan selamat sampai ke hotel masing-masing.

Rabu, 29/1/2025

Seusai solat subuh, kami bersama Dr Abu Anas Madani sehingga waktu Dhuha. Tazkirah dan perbincangan ringkas dua hala antara Datuk Yan, Datin Salmiah dan Dr Abu Anas Madani.

Setelah itu, kami berkumpul untuk tawaf Wada’ iaitu tawaf selamat tinggal jam 10 pagi. Tawaf Wada’ ini kami naik “Ferrari”. Sejujurnya bukan mudah juga untuk cari 6 pax untuk tolak sekaligus. Akhirnya jumpa 5 sahaja dan saya menemani Aryan. Yang menariknya, saya terpaksa tolak sendiri 3 pusingan disebabkan petugas wheel chair nak ke tandas.

Apapun, semua berjalan dengan lancar. Pada jam 2.00 petang, jemaah akan check-out dari hotel dan bertolak ke Madinah menaiki train jam 4.00 petang. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 2 jam lebih. Setibanya di Madinah pada jam 8.00 malam, jemaah akan check-in hotel Al-Aqeeq (lokasi) dan menikmati makan malam sebelum berehat.

Khamis, 30/1/2025

Pada 30 Januari 2025, kami berkumpul di lobi hotel pada jam 8.30 pagi untuk ziarah di sekitar Masjid Nabawi, termasuk makam Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda, Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA.

  • Rasulullah SAW wafat pada 12 Rabiulawal tahun 11H (632M) dan dimakamkan di dalam bilik rumahnya yang asalnya milik Saidatina Aisyah RA.
  • Saidina Abu Bakar RA, khalifah pertama Islam, wafat pada tahun 13H (634M) dan dikebumikan bersebelahan Rasulullah SAW.
  • Saidina Umar Al-Khattab RA, khalifah kedua Islam, wafat pada tahun 23H (644M) dan dikebumikan di sebelah Saidina Abu Bakar RA, berdekatan Rasulullah SAW.

Jemaah juga akan berpeluang menziarahi Saqifah Bani Saedah, lokasi penting yang wajib diketahui.

  • Tempat perbincangan utama dalam melantik khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW.
  • Selepas Rasulullah SAW wafat, terdapat perdebatan antara golongan Muhajirin dan Ansar mengenai siapa yang layak menggantikan Baginda.
  • Saidina Abu Bakar RA akhirnya dipilih sebagai Khalifah pertama Islam selepas perbincangan ini.

Lawatan diteruskan ke Masjid Ghamamah.

  • Masjid ini dibina di lokasi di mana Rasulullah SAW pernah menunaikan solat sunat Aidiladha dan Aidilfitri bersama para sahabat.
  • Nama “Ghamamah” (Awan) diberikan kerana dikatakan awan pernah menaungi Rasulullah SAW ketika Baginda solat di tempat ini bagi melindungi Baginda daripada panas matahari.
  • Masjid ini juga digunakan untuk solat Istisqa’ (solat meminta hujan) yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Selepas asar, kami mengunjungi Perkuburan Baqi’, tempat persemadian ramai sahabat dan ahli keluarga Rasulullah SAW.

  • Perkuburan ini mula digunakan sejak zaman Rasulullah SAW dan terus kekal hingga ke hari ini.
  • Orang pertama yang dikebumikan di Baqi’ ialah Usman bin Mazh’un RA, seorang sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW.
  • Nabi SAW sering berdoa untuk penghuni Baqi’ dan menziarahinya dengan penuh hormat.
  • Setelah Islam berkembang, ramai lagi sahabat, ahli keluarga Nabi SAW, serta ulama dan tokoh penting Islam dikebumikan di sini.

Hadis Rasulullah SAW mengenai Baqi’: “Aku adalah orang pertama yang akan terbelah bumi untukku (yakni dibangkitkan dari kubur), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar. Kemudian aku akan datang kepada ahli Baqi’, lalu mereka akan dibangkitkan bersamaku. Kemudian aku akan menunggu penduduk Makkah sehingga mereka juga dibangkitkan.” (Termizi: 3692)

Jumaat, 31/1/2025

Aktiviti bebas dan kami ambil kesempatan untuk beriktikaf awal di dalam Masjid Nabawi sementara tunggu solat Jumaat.

Waktu petang kami rehat.

Waktu malam, kami makan malam di Syari’ Qorban untuk makan ikan. Setelah selesai, saya menemani Datuk Yan dan Datin Salmiah melontar sekejap di sekitar dalam Taibah Mall.

Sabtu, 1/2/2025

Pada 1 Februari 2025, jemaah akan berkumpul di lobi hotel pada jam 8.30 pagi untuk ziarah ke Badar. Dalam perjalanan, kami singgah di Hamra’ Al-Asad dan juga Birr Arrawha.

Peperangan Badar adalah pertempuran pertama dalam sejarah Islam yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah (624M). Ia dinamakan sempena lembah Badar, iaitu kawasan sekitar 150 km dari Madinah di mana pertempuran berlaku.

Sebab utama perang:

  • Rasulullah SAW dan para sahabat merancang untuk memintas kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam ke Makkah.
  • Tujuan utama adalah mengambil kembali harta kaum Muslimin yang telah dirampas oleh Quraisy sejak mereka berhijrah ke Madinah.
  • Namun, kaum Quraisy mendapat maklumat mengenai rancangan ini dan menghantar 1,000 tentera bersenjata untuk berperang dengan pasukan Muslimin.

Perjalanan & Strategi Perang:

  1. Rasulullah SAW mengadakan musyawarah dengan para sahabat sebelum bertempur.
  2. Saidina Miqdad RA menyatakan kesetiaan penuh: “Wahai Rasulullah, kami tidak akan berkata kepadamu seperti Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dengan Tuhanmu, dan berperanglah! Kami di sini hanya duduk menunggu. Tetapi kami akan berperang bersamamu dari kanan, kiri, depan dan belakang!”
  3. Rasulullah SAW berdoa sepanjang malam memohon pertolongan Allah.
  4. Allah menurunkan bantuan tentera malaikat bagi membantu umat Islam (Surah Al-Anfal: 9-10).

Hasil pertempuran:

  • 70 orang Quraisy terbunuh (termasuk Abu Jahal).
  • 70 orang Quraisy ditawan dan dibebaskan dengan tebusan atau pengajaran ilmu.
  • 14 orang Muslimin gugur sebagai syahid.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran (3:123): “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam Peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.”

Manakala sejarah di Hamra’ Al-Asad tiada kaitan dengan peperangan Badar. Ia adalah peperangan sejurus peperangan Uhud.

  • Berlaku sehari selepas Perang Uhud, pada 8 Syawal Tahun 3 Hijrah (625M).
  • Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufyan baru sahaja menang dalam Perang Uhud dan sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah.
  • Rasulullah SAW dan para sahabat walaupun mengalami kekalahan di Uhud, tidak mahu membiarkan Quraisy berasa mereka telah menang sepenuhnya.
  • Oleh itu, Baginda mengumpulkan pasukan Islam untuk mengekori Quraisy dan memberi tekanan kepada mereka.
  • Rasulullah SAW mengarahkan hanya tentera yang menyertai Perang Uhud sahaja yang boleh ikut serta dalam ekspedisi ini.
  • Baginda dan tentera Muslim bergerak ke Hamra’ Al-Asad, kira-kira 13 km dari Madinah.
  • Tentera Muslim memasang strategi psikologi dengan menyalakan unggun api di beberapa tempat pada waktu malam.
  • Seorang perisik Islam bernama Ma’bad Al-Khuza’i menyampaikan maklumat palsu kepada Quraisy bahawa Rasulullah SAW sedang mengumpulkan pasukan besar untuk menyerang mereka.
  • Abu Sufyan panik dan membatalkan hasrat untuk menyerang Madinah.
  • Tentera Quraisy berundur ke Makkah, memberi kemenangan moral kepada umat Islam.

Akhir sekali, sejarah di Birr Ar-Rawha menjadi salah satu tempat penting dalam sejarah Islam kerana ia pernah menjadi tempat persinggahan Rasulullah SAW semasa perjalanan Baginda antara Makkah dan Madinah.

Ahad, 2/2/2025

Pagi hari sebelum Subuh, Datin Salmiah, Kak Siti dan Kak Farra bersiap sedia untuk masuk Raudah. Alhamdulillah semua lancar. Cuma ada sedikit kekeliruan tempahan Raudah untuk Datuk Yan dan Afi. Semoga direzekikan di hari mendatang.

  • Raudhah adalah kawasan istimewa yang disebut oleh Rasulullah SAW:
    مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ
    “Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
  • Raudhah merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa, dan setiap jemaah akan berusaha untuk solat dan berdoa di sini.

Seterusnya, kami jejaki sirah dengan menziarah Masjid Quba dengan menaiki buggy yang berdekatan dengan Masjid Al- Ghumamah.

  • Pada tahun 622 Masihi (1 Hijrah), ketika Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, Baginda tiba di perkampungan Quba’ dan menetap di sana selama 4 hari.
  • Di sinilah Baginda mendirikan masjid pertama dalam Islam dengan bantuan para sahabat dan penduduk Quba’.
  • Masjid ini menjadi tempat ibadah pertama bagi umat Islam sebelum Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah untuk membina Masjid Nabawi.
  • Firman Allah dalam Surah At-Taubah (9:108) mengenai Masjid Quba: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya.”
  • Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan berwuduk lalu menuju Masjid Quba, kemudian dia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah.” (HR Ibnu Majah, no. 1412)

Berdekatan dengan Masjid Quba’, ada Birr Aris atau dikenali Birr Khatam.

  • Suatu hari, Rasulullah SAW duduk di tepi Telaga Aris di Madinah.
  • Baginda meletakkan kaki Baginda ke dalam air sambil berbual dengan para sahabat.
  • Kemudian, Rasulullah SAW menerima wahyu dan memberitahu bahawa seseorang akan datang dan diberikan berita gembira akan masuk syurga, tetapi selepas menghadapi ujian berat.
  • Saidina Abu Bakar RA datang terlebih dahulu, Rasulullah SAW mengizinkannya masuk dan memberikan berita gembira bahawa beliau akan masuk syurga.
  • Saidina Umar RA datang, kemudian Rasulullah SAW juga mengizinkannya masuk dan memberikan berita gembira bahawa beliau akan masuk syurga.
  • Saidina Uthman bin Affan RA datang terakhir Rasulullah SAW diam sejenak sebelum mengizinkan Uthman masuk. Baginda SAW memberikan berita bahawa Uthman akan masuk syurga, tetapi selepas menghadapi ujian yang besar. Mendengar ini, Uthman RA berkata: اللَّهُ الْمُسْتَعَانُ (Allahu al-Musta’aan) “Allah-lah tempat aku memohon pertolongan.”

Sesudah ziarah Masjid Quba’, kami singgah di Masjid Jumuah yang mana solat Jumaat pertama didirikan.

  • Pada tahun 622M (1 Hijrah), Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah.
  • Sebelum tiba di Madinah, Baginda berhenti di Quba selama 4 hari dan mendirikan Masjid Quba.
  • Pada hari Jumaat, Rasulullah SAW meneruskan perjalanan ke Madinah.
  • Ketika Baginda dan rombongan tiba di Wadi Ranuna’, waktu solat Jumaat hampir masuk.
  • Rasulullah SAW berhenti di tempat ini dan mendirikan solat Jumaat bersama 100 orang Muslimin, menjadikannya solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam.
  • Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah (62:9): “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

Sebelah petang, kami ke Bukit Uhud dan solat asar di Masjid As-Shuhada’.

  • Peperangan ini berlaku kerana kaum Quraisy ingin membalas dendam atas kekalahan mereka dalam Peperangan Badar setahun sebelumnya.
  • Abu Sufyan, pemimpin Quraisy, mengumpulkan 3,000 tentera bersenjata lengkap untuk menyerang Madinah.
  • Mereka membawa 700 tentera berkuda, 3,000 unta, dan 200 tentera bersenjata lengkap.
  • Firman Allah dalam Surah Ali-Imran (3:165): “Dan mengapa kamu (hairan) ketika kamu ditimpa musibah (dalam Perang Uhud), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali lipat kepada musuhmu (dalam Perang Badar)?”
  • Pada awal pertempuran, pasukan Islam berjaya mengalahkan Quraisy dengan keberanian sahabat seperti Saidina Ali, Hamzah, dan Talhah RA.
  • Ramai tentera Quraisy melarikan diri, dan kelihatan kemenangan berpihak kepada Islam.
  • Kesilapan pemanah dan serangan balas Quraisy. Sebahagian pemanah di Bukit Ainain turun ke medan perang, kerana menyangka Islam telah menang dan ingin mengumpulkan harta rampasan perang.
  • Khalid bin Al-Walid (ketika itu belum Islam), seorang panglima Quraisy, mengambil kesempatan ini dan menyerang dari belakang.
  • Kekacauan berlaku dan ramai tentera Muslimin terbunuh.
  • Rasulullah SAW terkena serangan dan jatuh ke dalam lubang.
  • Gigi Baginda patah, dahinya luka, dan darah mengalir di wajahnya.
  • Orang Quraisy menyangka Baginda telah mati, menyebabkan tentera Muslimin semakin lemah.
  • Saidina Talhah RA dan beberapa sahabat bertindak mempertahankan Rasulullah SAW dengan nyawa mereka.
  • 70 orang Muslimin syahid termasuk: Sayyidina Hamzah RA (bapa saudara Rasulullah SAW) dan Mus’ab bin Umair RA (pembawa panji Islam).
  • Hamzah RA dibunuh oleh Wahsyi, seorang hamba Quraisy yang diperintahkan oleh Hindun binti Utbah.

Sebelah petang, kami ziarah pula Masjib Qiblatain.

  • Sebelum perubahan kiblat, umat Islam menghadap ke arah Baitul Maqdis (Jerusalem) ketika solat, sama seperti amalan Nabi-nabi sebelumnya.
  • Rasulullah SAW sendiri lebih suka jika kiblat diubah ke arah Kaabah kerana ia adalah rumah ibadah pertama yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
  • Pada tahun ke-2 Hijrah (624M), ketika Rasulullah SAW sedang menunaikan solat Zohor di masjid ini bersama para sahabat, wahyu Allah turun, mengarahkan agar kiblat diubah ke Kaabah di Makkah.
  • Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:144): “Sesungguhnya Kami sering melihat wajahmu menengadah ke langit. Maka Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya.”
  • Selepas menerima wahyu ini, Rasulullah SAW serta-merta berpaling 180 darjah ke arah Kaabah di tengah-tengah solat, dan para sahabat yang berada di belakang turut berpaling mengikut Baginda.
  • Disebabkan kejadian ini, masjid ini dinamakan “Masjid Qiblatain” (Masjid Dua Kiblat) kerana di dalamnya pernah berlaku perubahan kiblat dalam solat yang sama.

Kemudiannya kami akhiri jejak sirah dengan kebun Tamar dan malam tersebut kami bersama dalam majlis penghargaan untuk jemaah Ummah Travel di Reef Al-Bustan (lokasi).

Isnin, 3/2/2025

Seterusnya, lawatan akan diteruskan ke Kubu Ka’ab Al-Asyraf, yang menyimpan kisah sejarah pertembungan antara Rasulullah SAW dengan puak Yahudi di Madinah.

  • Ka’ab bin Al-Asyraf ialah seorang pemimpin Yahudi dari Bani Nadhir, salah satu suku Yahudi utama di Madinah.
  • Beliau adalah seorang penyair yang sering menghina Rasulullah SAW dan menghasut orang Quraisy untuk menentang Islam.
  • Hasutan Ka’ab Al-Asyraf Terhadap Umat Islam
  • Selepas kekalahan Quraisy dalam Perang Badar, Ka’ab sangat marah dan menghasut Quraisy untuk membalas dendam terhadap Muslimin.
  • Beliau memfitnah Rasulullah SAW dan Islam, serta menggubah syair menghina para sahabat.
  • Keputusan Rasulullah SAW Terhadap Ka’ab Al-Asyraf
  • Oleh kerana ancaman yang semakin meningkat, Rasulullah SAW mengarahkan beberapa sahabat untuk menghapuskan Ka’ab bin Al-Asyraf.
  • Muhammad bin Maslamah RA, bersama beberapa sahabat lain, menjalankan misi ini dan berjaya membunuhnya di dalam kubu yang dimiliki oleh Ka’ab.
  • Kematian Ka’ab melemahkan kekuatan Bani Nadhir dan menjadikan Madinah lebih aman daripada ancaman Yahudi.
  • Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:2): “Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir dari ahli kitab (Yahudi Bani Nadhir) dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama.”

Selepas itu kami mencari Bukit Terbakar, tetapi tidak jumpa.

  • Kawasan ini dipenuhi dengan batuan hitam legam, seolah-olah ia pernah terbakar dalam satu peristiwa besar.
  • Pakar geologi percaya bahawa kawasan ini pernah menjadi lokasi letusan gunung berapi pada zaman dahulu, yang meninggalkan jejak lava hitam di sekitarnya.

Rehlah kami terakhir lawatan ke Bukit Magnet.

  • Bukit Magnet atau dikenali sebagai Jabal Baidha’ yang terletak kira-kira 30 km dari Madinah, di jalan menuju ke Tabuk.
  • Apabila kenderaan berada dalam keadaan gear neutral, ia akan bergerak sendiri menanjak ke atas, seolah-olah ada daya tarikan magnet yang kuat.
  • Sebahagian saintis percaya bahawa ia adalah kesan ilusi optik akibat landskap bukit yang menjadikan laluan menurun kelihatan seperti mendaki.

Selasa, 4/2/2025

Pada 4 Februari 2025, kami bertolak pada jam 1.00 pagi ke Lapangan Terbang Madinah dan terus check in. Di sini, saya tersalah faham berkaitan Air Zam-Zam yang mana dimaklumkan diurus oleh Ummah Travel.

Kami terus masuk ke tempat menunggu dan di sinilah baru saya faham makluman tentang Air Zam-Zam perlu dicheck-in sekali. Saya ingat ada cara lain yang akan diurus oleh pihak Ummah Travel. Saya belajar daripada kesilapan ini.

Penerbangan kami ke Jeddah dan transit di sana 3 jam dan pada pukul 12.00 tengah hari kami bertolak daripada Jeddah ke Tanah Air.

Penutup

Alhamdulillah kami sampai dengan selamat di Malaysia.

Kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ummah Travel Sdn Bhd atas peluang yang telah diberikan untuk menyantuni Datuk Hadyan, Datin Salmiah, Afi Harraz, Aryan, Sofia, Kak Siti dan Kak Farra.

Penghargaan juga untuk keluarga Datuk Yan atas segala kebaikan yang diberikan sepanjang rehlah umrah dan jejak sirah ini. Saya memohon maaf sekiranya ada tersilap, terkasar dan sebagainya.

Semoga Allah berkati kita semua.

Abu Nuha Nuwairah, Pondok Sungai Durian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top