Isi Kandungan
Pendahuluan
Baru-baru ni, kecoh di media sosial dengan pelbagai kenyataan, spekulasi dan dakwaan tentang Tabung Haji (TH). Ada yang keliru, ada yang panik, dan ada juga yang terus viralkan tanpa semak dulu kesahihannya.
Antara isu yang dibangkitkan:
- Kenapa orang yang simpan RM1,000 pun dikenakan zakat oleh TH?
- Kenapa kadar zakat TH ialah 2.5775%, bukan 2.5%?
- Benarkah dividen kasar TH sebelum zakat ialah 5.8275%?
- Betul ke FB Lim Sian See kata TH beri hibah, bukan dividen?
Kami akan jawab satu per satu dengan gaya yang mudah difahami dan disokong fakta sahih.
Kenapakah Orang Yang Simpan RM1,000 Pun Dikenakan Zakat?
Ramai beranggapan bahawa zakat hanya perlu dibayar apabila simpanan cukup nisab dan genap haul (tempoh setahun). Maka bila dapat tahu simpanan kecil pun “dikenakan zakat” oleh TH, ramai terkejut.
Jawapannya: Zakat yang dibayar oleh TH bukan berdasarkan jumlah simpanan individu, tapi atas pendapatan keseluruhan TH.
Apa maksudnya?
Dalam fiqh zakat, wujud konsep zakat al-khalitain atau zakat khultah, iaitu zakat ke atas harta campuran milik ramai yang digabung dan dikendalikan oleh satu pihak.
Contoh paling jelas? Tabung Haji.
TH mengumpulkan wang daripada berjuta pendeposit, lalu menggunakan wang itu untuk pelaburan dan urusan haji. Apabila tiba haul, zakat dikenakan ke atas keseluruhan keuntungan yang terhasil, bukan secara individu.
Dalil dari hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:
“Jangan menghimpunkan barang yang terpisah dan jangan pisahkan barang yang terhimpun untuk mengelakkan dari zakat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Maknanya, kita tak boleh elak zakat dengan ‘memecah-mecahkan’ atau ‘menggabung-gabungkan’ harta secara manipulatif.
Antara rujukannya, Kitab Fiqh az-Zakah oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga mengulas panjang konsep ini, termasuk keperluan zakat atas perniagaan yang melibatkan dana gabungan seperti TH.
Maka, walaupun seseorang hanya ada RM1,000 dalam akaun TH, dia tetap layak menerima dividen yang telah ditolak zakat, kerana zakat telah ditunaikan atas keseluruhan keuntungan secara menyeluruh.
Kenapakah Kadar Zakat TH 2.57775%, Bukan 2.5%?
Ini pun ramai tanya. Bukankah zakat perniagaan ialah 2.5%? Kenapa TH kenakan 2.5775%?
Jawapannya: Kalendar.
Zakat biasanya dikira ikut tahun Hijrah. Tapi dalam sistem kewangan moden, syarikat termasuk TH guna tahun kewangan Gregorian (Masihi) iaitu 365 hari.
Sedangkan tahun Hijrah cuma 354 hari.
Formulanya: (365 / 354) × 2.5% = 2.5775%
Maka, untuk memastikan keadilan dan kesetaraan kadar zakat walaupun menggunakan kalendar yang lebih panjang, TH menetapkan 2.5775% sebagai kadar zakat perniagaan yang dikenakan.
Bukan suka-suka naikkan ya, tapi berdasarkan kaedah fiqh dan kiraan yang adil.
Adakah Betul Dividen Kasar TH Sebelum Zakat 5.8275%?
Inilah yang paling viral dan paling mengelirukan.
Ada yang buat andaian bahawa kadar sebenar dividen ialah 5.8275%, kononnya sebelum ditolak zakat. Kemudian mereka tolak 2.5775% zakat, dan tinggal 3.25%.
Tapi… itu adalah SALAH FAHAM BESAR.
Mari kita lihat data sebenar Tabung Haji bagi tahun 2024:
- Pendapatan kasar TH: RM4.56 bilion
- Zakat yang dikeluarkan: RM99.35 juta
- Kos operasi + Bantuan Kewangan Haji (subsidi): RM1.541 bilion
- Pendapatan bersih yang diagih kepada pendeposit: RM2.92 bilion
- Jumlah simpanan pendeposit: ±RM89.85 bilion
- Dividen bersih diumumkan: 3.25%
Maka kiraan sebenar ialah:
Kalau kita tambah balik zakat yang dah ditolak (RM99.35 juta), pendapatan sebelum zakat ialah:
RM2.92b + RM99.35j = RM3.019 bilion
Dividen kasar sebelum zakat:
RM3.019b / RM89.85b = ±3.36%, bukan 5.8275% seperti didakwa.
Kenapa penting isu ini?
Sebab kalau kita percaya dividen 5.8275% itu betul, kita akan merasakan TH ‘potong zakat banyak sangat’ dan tidak telus. Sedangkan hakikatnya:
- Zakat sudah dibayar dahulu oleh TH (bukan tolak dari pendeposit).
- Dividen 3.25% yang anda terima adalah bersih selepas zakat.
Adakah Betul TH Bagi Hibah, Bukan Dividen?
Ada pula pihak yang mendakwa TH beri hibah, bukan dividen. Antara individu yang buat kenyataan ini ialah Lim Sian See.
Fakta sebenar:
DULU, semasa TH gunakan akad Wadiah Yad Dhamanah, memang sebarang agihan untung dinamakan hibah, kerana ia berbentuk hadiah, bergantung kepada budi bicara.
SEKARANG, sejak 31 Disember 2019, TH telah beralih kepada akad Wakalah, iaitu pendeposit melantik TH sebagai wakil untuk melaburkan duit mereka.
Oleh itu, segala keuntungan diagihkan sebagai dividen berdasarkan prestasi pelaburan sebenar, bukan suka-suka dan bukan hibah lagi.
Rujuk kenyataan TH di laman rasmi mereka dan laporan kewangan tahunan – semuanya jelas menyebut penggunaan akad wakalah dan istilah dividen.
Penutup
Banyak sangat salah faham tentang Tabung Haji tersebar dalam media sosial, lebih-lebih lagi bila melibatkan angka dan istilah fiqh. Kita sebagai umat Islam wajib menyemak dan memahami dengan ilmu.
Pertama, TH tidak kenakan zakat ikut simpanan individu – tapi atas harta gabungan.
Kedua, kadar zakat 2.5775% adalah wajar kerana kiraan ikut kalendar Masihi.
Ketiga, dividen kasar bukan 5.8275%, tapi sekitar 3.36% sebelum zakat.
Keempat, TH tidak lagi beri hibah – mereka beri dividen, berdasarkan akad wakalah.