Isi Kandungan
Pendahuluan
Haid bukan sekadar isu fizikal—ia berkait rapat dengan hukum ibadah yang wajib diketahui setiap wanita. Ramai yang terkeliru apabila darah keluar lebih lama, bercampur warna, atau tidak ikut adat kebiasaan. Artikel ini ditulis khas untuk wanita awam agar tidak terus berada dalam kejahilan tentang hukum-hakam asas berkaitan haid. Ini antara tips penting yang habis diskaun—iaitu asas yang paling minimum wajib tahu!
Tips Pertama
Semua Darah Selama Tidak Melebihi 15 Hari 15 Malam Adalah Haid
Selagi darah yang keluar tidak melebihi 15 hari 15 malam dan melebihi 24 jam, maka semuanya dihukumkan sebagai haid walau apa pun warnanya: hitam, merah, coklat, kekuningan mahupun keruh.
Ini tetap sah haid walaupun:
- Bercanggah dengan adat sebelum ini.
- Pertama kali datang haid.
- Sudah berumur 100 tahun.
- Ada selang waktu tiada darah di tengah-tengahnya.
Yang penting: tidak melebihi 15 hari 15 malam.
Tips Kedua
Datang Sahaja Darah Selepas Tempoh Suci, Maka Itu Haid
Asalkan darah datang selepas tempoh suci minimum 15 hari dan perempuan itu sudah mencapai umur 9 tahun taqriban, maka ia dihukumkan haid walaupun baru keluar setitik dan belum cukup 24 jam. Jika berpanjangan hingga lebih 24 jam, ia kekal sebagai haid.
Tips Ketiga
Catat Setiap Sifat Darah
Catatan sifat darah seperti:
- Warna (merah, coklat, kuning, keruh)
- Ketumpatan (pekat/cair)
- Bau (hanyir atau tidak)
- Tarikh mula & akhir keluar darah
Sangat penting terutama apabila darah keluar lebih 15 hari. Catatan ini akan membantu menentukan mana haid dan mana istihadah nanti.
Tips Keempat
Setiap Kali Darah Berhenti, Dihukumkan Suci
Jika darah berhenti walaupun seketika, pada zahirnya dihukum suci, maka perlu mandi wajib dan menunaikan solat seperti biasa. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada perincian hukum apabila sampai ke hari ke-16 (lihat point ke-7).
Tips Kelima
Tempoh Tiada Darah di Celah Dua Haid – Ada Khilaf
Contoh: darah keluar 3 hari, berhenti sehari, kemudian keluar semula.
Persoalannya: adakah sehari itu dikira suci dan wajib solat?
- Pendapat muktamad (yang terkuat): ibadat dalam tempoh itu tidak sah, jadi perlu qada solat dan puasa jika dilakukan.
- Pendapat lain: sah dan tidak perlu qada.
Namun, bagi wanita awam, ikut yang muktamad lebih selamat.
Tips Keenam
Jika Lebih 15 Hari, Maka Ada Istihadah
Apabila darah keluar lebih dari 15 hari 15 malam, anda dianggap mengalami istihadah, iaitu darah penyakit. Maka, dalam darah yang keluar itu, ada bahagian yang dikira haid dan ada yang dikira istihadah.
Tips Ketujuh
Hari ke-16 Wajib Tanya Ustaz/Ustazah
Ramai wanita buat silap besar—tunggu darah berhenti baru nak tanya hukum. Sepatutnya hari ke-16 itu terus rujuk ahli (ustaz/ustazah). Ini kerana:
- Mungkin hari ke-16 itu masih haid → haram solat, puasa, bersetubuh.
- Mungkin hari ke-16 itu istihadah → wajib mandi, solat, puasa, dan boleh bersetubuh.
Penutup
Ini ialah minimum fardu ain untuk wanita yang sudah baligh. Kalau mahu tahu lebih lanjut dan mendalam, perlu duduk belajar berkitab bersama guru. Jangan sekadar dengar-dengar dari media sosial atau kawan semata.