Isi Kandungan
Pendahuluan
Pengalaman ini dikongsi oleh seorang peguam dia terima satu panggilan daripada seorang klien.
Dia ada rumah yang nak dijual, dan alhamdulillah, dah ada pembeli. Lebih menarik, pembeli itu nak bayar tunai – cash buyer. Tapi ada satu masalah di mana pembeli tak mahu guna khidmat peguam. Dia cadangkan untuk uruskan sendiri di pejabat tanah, katanya lebih jimat dan cepat.
Klien tanya, “Apa patut saya buat?”
Nampak macam urusan ni mudah dan ringkas. Tapi realitinya, risiko besar sedang menanti. Sebelum buat keputusan, baca dulu apa yang nak dikongsikan.
Pindah Milik Bukan Sekadar Tandatangan Borang & Serah Kunci
Ramai orang ingat, bila jual beli rumah secara tunai, tak perlu rumit-rumit. Tapi hakikatnya, urusan pindah milik memerlukan banyak dokumen yang perlu tepat dan sah.
Antara dokumen penting:
- Borang 14A (borang pindah milik),
- Lampiran berkaitan (IC, geran asal, surat kebenaran),
- Document Submission (DS),
- Consent kalau hartanah itu berstatus leasehold,
- Semakan cukai pintu dan cukai tanah tertunggak,
- Penilaian untuk duti setem.
Salah isi satu butiran dalam Borang 14A pun boleh buat pejabat tanah tolak permohonan. Proses jadi panjang. Masa terbuang.
Tanpa Lawyer, Siapa Nak Pastikan Semua Dokumen Sah?
Lawyer bukan setakat ‘tukang taip borang’. Lawyer akan:
- Semak semua dokumen,
- Pastikan tiada penipuan atau kekeliruan,
- Simpan rekod rasmi setiap transaksi,
- Boleh nasihatkan jika ada isu-isu teknikal.
Kalau pembeli bayar cash-cash tanpa lawyer, kemudian buat hal – macam mana penjual nak tuntut hak? Kalau pembeli lambat serah baki bayaran? Atau tiba-tiba tarik diri?
Siapa Pegang Duit? Siapa Jamin Transaksi Selamat?
Dalam jual beli rumah, lawyer bertindak sebagai stakeholder.
- Duit pembeli disimpan sementara,
- Penjual hanya akan dapat duit bila semua urusan selesai dan tiada masalah dokumen,
- Lawyer lindungi kedua-dua pihak.
Bayangkan kalau pembeli bayar terus.
- Penjual dah bagi kunci, tapi pembeli tak hantar borang pindah milik.
- Atau pembeli dah bayar, tapi rumah ada masalah status.
Mana jaminan?
Urusan Pejabat Tanah Bukan Macam Beli Burger
Setiap pejabat tanah ada prosedur ketat.
- Due diligence mesti dibuat.
- Dokumen tak lengkap, pejabat tanah takkan layan.
- Kalau silap hantar, kena ulang balik.
Bukan semua kakitangan pejabat tanah akan bantu betulkan kesilapan. Kadang-kadang, mereka sendiri akan cadangkan guna lawyer.
Kalau Pembeli Betul-Betul Nak Urus Sendiri…
Minimum, lantik seorang lawyer untuk:
- Semak dokumen,
- Sediakan borang dengan betul,
- Uruskan submission dan duti setem.
Sekurang-kurangnya, ada perlindungan asas.
Kalau pembeli tetap degil, minta dia tandatangan surat pelepasan tanggungjawab (indemnity), nyatakan dia sendiri akan tanggung semua risiko. Tapi ingat, ini tak ideal. Kalau ada isu, proses undang-undang akan tetap sukar.
Kesimpulan
Jual beli rumah secara tunai memang kelihatan mudah dan pantas, tetapi tanpa khidmat peguam, risiko amat besar. Jika berlaku masalah, urusan tuntutan hak akan menjadi rumit dan memerlukan kos serta masa yang banyak.
Ingatlah, jual beli hartanah bukan perkara remeh. Jangan kerana ingin menjimatkan sedikit kos, anda terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar kemudian hari.