Hak Ibu Dalam Menuntut Upah Pengasuhan Anak

Isi Kandungan

Pendahuluan

Satu status yang diupdate di muka buku berkaitan kata-kata, “Tanggungjawab tidak boleh dikira upah”. Pelbagai reaksi orang awam berkenaan hal ini apabila dikaitkan dengan upah penjagaan anak.

Pertama sekali, kes ini kena bezakan antara penjagaan anak dalam tempoh perkahwinan dengan selepas penceraian. Kata-kata tadi merujuk kepada penjagaan anak dalam tempoh perkahwinan. Tanggungjawab ibu menjaga anak tidak dikira upah.

Ada juga yang berpandangan ia sama sahaja dalam tempoh perkahwinan dan selepas perkahwinan.

Namun, penjagaan anak selepas perceraian merupakan isu besar yang melibatkan tanggungjawab moral, emosi dan kewangan. Salah satu perkara yang sering menjadi pertikaian ialah adakah si ibu berhak menuntut upah atas tanggungjawab menjaga anak dan apakah hukum jika si bapa enggan membayar upah tersebut?

Artikel ini mengupas pandangan mazhab-mazhab utama dalam isu ini serta garis panduan syarak dalam menangani kezaliman nafkah.

Kewajiban Bapa Menyediakan Nafkah & Tempat Tinggal

Secara asasnya, syarak mewajibkan bapa menyediakan nafkah asas anak, termasuk:

  • Makanan & minuman
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Perubatan
  • Jika anak masih kecil dan tidak mampu urus diri, maka termasuk juga kos penjagaan (أجرة الحضانة)

Allah SWT berfirman:

“وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ”
“Dan kewajiban ayah adalah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang patut.”
(Surah al-Baqarah: 233)

Ingin ditekankan di sini bahawa “maaruf” dalam ayat ini menunjukkan kepada kemampuan si bapa dalam menafkahi anak-anak. Si bapa menafkahi mengikut kemampuannya.

Pandangan Mazhab Syafi‘iyyah & Hanabilah

Para ulama dari Mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa ibu atau mana-mana penjaga (حاضنة) berhak menuntut upah atas tugas pengasuhan, sama ada penjaga itu adalah ibu kandung atau bukan. Ini kerana pengasuhan tidak wajib ke atas ibu secara mutlak; jika ibu enggan mengasuh anaknya, dia tidak boleh dipaksa.

Kewangan pengasuhan (مُؤْنَةُ الحضانة) ditanggung oleh harta anak (المحضون). Jika anak tidak mempunyai harta, maka kewajiban itu berpindah kepada pihak yang wajib memberi nafkah kepada anak, seperti bapa.

Jenis upah: Ibu berhak kepada ujrah al-mithl (أُجْرَةُ الْمِثْل), iaitu kadar upah yang sepatutnya mengikut uruf.

Isu dengan adanya sukarelawan (متبرعة):

  • Mazhab Hanbali: Ibu tetap berhak atas upah walaupun ada orang lain sanggup menjaga anak secara percuma.
  • Mazhab Syafi‘i: Jika ada orang lain yang rela menjaga tanpa bayaran atau dengan bayaran yang lebih rendah, maka hak ibu untuk menjaga dengan upah boleh gugur.

Namun, sebahagian ulama (seperti Abu Zur‘ah) berpendapat bahawa ibu tetap lebih utama untuk menjaga anak, meskipun ada sukarelawan dan dia berhak menuntut upah.

Pandangan Mazhab Hanafiyyah

Menurut Hanafiyyah, jika ibu masih dalam perkahwinan dengan bapa anak atau dalam iddah raj‘iyyah, maka dia tidak berhak menuntut upah atas pengasuhan kerana tugas itu dianggap sebagai tanggungjawab keagamaan (دينًا) dan jika diberi upah, ia disamakan dengan rasuah (رشوة).

Namun, ibu berhak menuntut upah jika:

  • Dia telah bercerai dan habis iddah, atau
  • Dalam iddah talaq ba’in menurut satu riwayat,
  • Atau jika penjaga bukan ibu.

Dalam kes sebegini, upah diambil:

  • Dari harta anak jika ada,
  • Jika tiada, dari bapa atau sesiapa yang wajib menafkahi anak.

Jika ada wanita lain yang sanggup menjaga secara percuma, maka:

  • Jika bukan mahram, ibu lebih berhak meskipun dia minta upah.
  • Jika mahram, maka ibu diberi dua pilihan:
    • Sama ada menjaga anak secara percuma,
    • Atau serahkan kepada sukarelawan tersebut.

Namun, syarat ini terikat dengan dua perkara:

  1. Jika bapa miskin, maka tidak diwajibkan ke atasnya walaupun anak tiada harta.
  2. Jika bapa kaya dan anak ada harta, maka pendapatan anak dipelihara dan upah diberikan daripada harta anak.

Dalam kes bapa kaya tapi anak tiada harta, maka ibu diutamakan untuk menjaga anak walaupun dengan bayaran upah, kerana ia lebih memelihara kepentingan anak.

Pandangan Mazhab Malikiyyah

Mazhab Maliki secara umumnya berpendapat bahawa pengasuhan tidak diberi upah dan ini merupakan pandangan Malik yang terakhir, disokong oleh Ibn al-Qasim.

Namun, Imam Malik pernah menyebut bahawa:

  • Penjaga boleh diberikan nafkah daripada harta anak.
  • Khilaf berlaku jika penjaga itu wanita kaya – dalam hal ini, tidak diberi upah kerana dia mampu.
  • Jika penjaga miskin, maka diberi nafkah atas sebab kemiskinannya, bukan kerana tugas pengasuhan itu sendiri.

Kesimpulan

Isu upah pengasuhan (أجرة الحضانة) amat berkait rapat dengan status perkahwinan ibu, kemampuan kewangan bapa dan kewujudan sukarelawan lain. Secara umumnya:

  • Mazhab Syafi‘i & Hanbali: Ibu berhak minta upah jika bukan dalam pernikahan dan lebih berhak berbanding sukarelawan bukan mahram.
  • Mazhab Hanafi: Tidak boleh minta upah jika masih dalam pernikahan atau iddah raj‘iyyah. Boleh jika sudah tamat iddah atau bukan isteri.
  • Mazhab Maliki: Tidak mengiktiraf upah pengasuhan, kecuali untuk membantu penjaga yang fakir.

Dalam konteks semasa seperti di Mahkamah Syariah Malaysia, pandangan ini sering diambil kira bergantung pada mazhab rasmi negeri, kemampuan ibu bapa dan kepentingan terbaik anak.

Apabila lihat kepada realiti, isu nafkah anak masih belum dapat diselesaikan, apatah lagi isu upah jagaan anak. Apapun, ia 2 isu berbeza yang mana perlu diambil maklum.

Dalam semua keadaan, keutamaan tetap perlu diberikan kepada kepentingan anak dan keadilan demi mendapat redha Allah SWT.

Nota: Terima kasih kepada individu yang membuka sudut pandang baru saya yang lain berkaitan isu ini. Barakallahufikum.

Allahu A’lam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top