Setelah saya menulis artikel berkenaan anak tak sah taraf, pelbagai soalan yang ditanya secara personal. Tiba-tiba suatu petang saya menerima satu panggilan dan menyatakan tujuan panggilan dibuat.
“Abu Nuha, macam mana nak buang anak secara betul?”
Ini adalah satu persoalan yang saya sendiri terkedu apabila mendengar hasrat tersebut. Saya juga mempunyai anak dan betapa sayangkan saya kepada anak hanya Allah sahaja tahu. Sepertimana fitrah manusia yang Allah jelaskan di dalam Al-Quran.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).”
Surah Al-Imran – Ayat 14
Saya pasti tuan puan pembaca pun mengasihi dan menyayangi anak masing-masing. Apabila saya mendengar soalan tersebut, seribu soalan muncul di benak fikiran.
Saya tanya kembali, “Kenapa puan nak buang anak tersebut?”
“Bukan anak saya tuan. Saya bertanya bagi pihak orang lain. Anak tersebut anak luar nikah. Si ayah biologi dah lari entah ke mana. Tak mahu bertanggungjawab. Setelah dilahirkan, anak tersebut tinggal dengan kawan kepada ibu yang melahirkan bayi ini. Memandangkan ibunya tidak boleh jaga lagi. Keluarga nak let go anak tersebut sebab nak tutup cerita. Keluarga dah stress dengan kelahiran anak luar nikah ni. Tak tahu nak letak di mana.”
“Innalillahi wainna ilahi rajiun, sampai begitu sekali.” Sepontan saya respon apabila mendengar penjelasan tersebut.
“Disebabkan saya nampak Abu Nuha ada jelaskan tentang anak tak sah taraf, saya nak tahu macam mana cara nak buang anak tersebut?”
“Sejujurnya puan, saya tak tahu. Tetapi saya boleh usahakan untuk bertanya kepada yang arif. Bagi masa sekejap untuk cari jalan yang betul mengikut undang-undang.”
Sejurus panggilan diletakkan, saya cuba cari jalan. Saya bertanya kepada sepupu saya yang kebetulan berada disamping saya di saat itu. Dia merupakan imam kepada salah sebuah masjid di Kedah.
“Telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat”, respon sepupu saya.
Saya segera telefon 03-8000-8000 setelah saya cari di Google dan operator angkat panggilan tersebut. Saya menjelaskan situasi sebenar dan akhirnya dapat nombor talian berikutnya, 15-999 iaitu Talian Kasih yang dikendali oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Akhirnya, saya dapat nombor talian Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan yang berdekatan dengan anak luar nikah tadi.
“Tuan tidak perlu risau, tuan telefon pihak JKM xxxxx 03xxxxxxxx dan Insya Allah ada pegawai akan ambil anak tersebut”.
“Puan, sebelum akhiri panggilan ini. Saya nak tahu adakah kes ini akan jadi kes polis? Sebab yang bertanya kepada saya tidak mahu perkara ini tersebar.”
“Jika kes ini terlibat dengan kes dera, ia akan jadi kes polis. Tetapi jika kes ini adalah kes pengabaian, tiada masalah. Kami akan ambil anak tersebut.”
Setelah saya dijelaskan, saya terus berhubung dengan puan yang menelefon saya awal-awal tadi dan saya jelaskan tindakan apakah yang sepatutnya. Sebelum saya akhiri, saya berpesan kepadanya.
“Puan, saya nak jelaskan bahawa apapun terjadi, hubungan anak dengan ibu tidak pernah terputus. Walaupun anak dibuang oleh ibunya, anak tersebut masih dikira anaknya. Sekiranya berlaku kematian kepada anak atau ibu, mereka saling mewarisi satu sama lain. Jika harta tersebut tidak diberikan kepada sepatutnya, maka akan ada waris yang ambil hak orang lain. Oleh itu, wajib ahli keluarga ambil tahu anak tersebut berada di mana dan dengan siapa dibesarkan.”
“Insya Allah, keluarga saya akan ambil tahu di mana anak tersebut berada.”
Alhamdulillah, akhirnya selesai juga satu persoalan yang mencemaskan saya. Pertama kali terlibat dalam kes begini. Di dalam hati saya seribu macam rasa apabila memikirkan anak tersebut. Saya doakan anak tersebut sihat dan berjaya dunia akhirat. Saya juga berharap dia boleh bersabar dengan ujian ini.
Sebenarnya panjang kisah ini, saya ringkaskan dengan poin-poin penting sahaja. Saya sengaja tidak menyebut di manakah dan siapakah yang terlibat dalam hal ini. Sama-sama kita ambil pengajaran.
Pengajaran dari kisah benar ini:
- Jauhilah zina kerana adalah dosa besar yang sangat terkutuk. Perkara ini jelas diterangkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith.
- Membuang anak adalah satu kezaliman terhadap anak tersebut. Berat ujian anak untuk harungi hidup. Lebih-lebih lagi dibuang keluarga.
- Tindakan mencari saluran yang betul tindakan terpuji. Sekurang-kurang tidak menyakiti anak tersebut atau membunuh anak tersebut apabila dibiarkan di tempat yang tidak sepatutnya.
- Hubungan anak dan ibu tidak terputus. Wajib ambil tahu tentangnya. Bimbang berlaku perkahwinan semasa adik beradik dan juga pewarisan yang tidak adil apabila berlaku kematian.
Kesimpulannya, sama-sama kita menjaga ahli keluarga kita daripada terlibat dengan perkara sebegini. Mohon kepada Allah taufik dan hidayah. Sesungguhnya tiada tempat bergantung kecuali kepada-Nya.