Peristiwa Badar al-Kubra: Sejarah & Ibrah

Isi Kandungan

Pendahuluan

17 Ramadhan bukan sekadar hari turunnya Al-Quran, tetapi juga detik yang menyaksikan pertolongan Allah SWT kepada umat Islam melalui kemenangan di medan Badar. Peristiwa ini bukan sahaja menjadi simbol kekuatan iman dan keteguhan perjuangan Rasulullah ﷺ serta para sahabat, tetapi juga satu pelajaran besar bagi generasi Muslim sepanjang zaman.

Perang Badar, yang asalnya hanya bertujuan memintas kafilah dagang Quraisy untuk mendapatkan kembali harta yang telah dirampas di Makkah, akhirnya menjadi pertempuran yang mengubah landskap perjuangan Islam. Ia menyaksikan kehancuran tokoh-tokoh utama musyrikin Makkah, termasuk Abu Jahal dan sekutunya, yang selama ini menindas umat Islam.

Malam Munajat Nabi ﷺ di Medan Badar

Ketika kami menziarahi medan Badar dan bersolat Zuhur di Masjid ‘Irsy, yang disebut dalam Al-Quran sebagai ‘Udwah ad-Dunya (العُدوة الدنيا) seakan-akan suasana malam munajat Rasulullah ﷺ masih tergambar. Dalam gelapnya malam, baginda ﷺ berdoa dengan penuh pengharapan sehingga kain selendangnya jatuh dari bahu. Abu Bakar As-Siddiq RA memujuk baginda ﷺ dengan keyakinan bahawa Allah SWT pasti akan memberikan pertolongan.

Sementara itu, di kem musyrikin Quraisy yang diketuai Abu Jahal, mereka bergelumang dengan keangkuhan dan keyakinan bahawa kemenangan berada di tangan mereka. Namun, mereka tidak menyedari bahawa ajal mereka hanya tinggal kurang dari 24 jam.

Doa Rasulullah ﷺ & Pertolongan Allah SWT

Ketika Rasulullah ﷺ berdoa di sisi Kaabah akibat dihina dan ditindas oleh kaum Quraisy, baginda berdoa kepada Allah dengan penuh kekhusyukan dan ancaman terhadap kezaliman mereka. Doa baginda ﷺ yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بقُرَيْشٍ

Maksudnya: “Ya Allah, uruskanlah Quraisy ini!”.

Baginda ﷺ mengulang doa ini sebanyak tiga kali.

Baginda ﷺ kemudiannya menyebut secara khusus nama-nama pemuka Quraisy yang selama ini menentang dakwah Islam dengan penuh kezaliman:

  1. Abu Jahal
  2. ‘Utbah bin Rabi’ah
  3. Syaibah bin Rabi’ah
  4. Al-Walid bin ‘Utbah
  5. Umayyah bin Khalaf
  6. ‘Uqbah bin Abi Mu’it (yang pernah meletakkan perut unta di belakang Nabi ﷺ ketika baginda sujud di Kaabah)
  7. Nadhar bin Harits

Doa ini tidak berlalu sia-sia. Kesemua individu yang disebut dalam doa Rasulullah ﷺ ini mati dalam keadaan hina di lembah Badar.

Setelah mereka tewas, jasad-jasad mereka dihumban ke dalam satu lubang. Rasulullah ﷺ dilihat berdiri di tepi lubang itu, seolah-olah berbicara dengan mereka, menunjukkan bahawa janji Allah SWT telah terlaksana.

Keadaan Pasukan Islam Berbanding Musuh

Ketika memasuki medan perang, pasukan Muslimin berada dalam keadaan serba kekurangan. Mereka hanya berjumlah 314 orang, dengan hanya 70 ekor unta dan dua ekor kuda yang mereka gunakan secara bergilir-gilir untuk perjalanan sejauh 150 kilometer dari Madinah ke Badar. Sebaliknya, pasukan Quraisy jauh lebih bersedia, dengan kekuatan 1000 orang, 700 ekor unta, dan 100 ekor kuda.

Namun, Rasulullah ﷺ tetap yakin dengan pertolongan Allah. Baginda ﷺ bermunajat agar Allah SWT mengurniakan kecukupan bagi umat Islam. Doa baginda akhirnya dimakbulkan, kerana selepas perang, kaum Muslimin pulang dengan harta rampasan yang banyak—makanan, pakaian, serta unta dan kuda yang mencukupi untuk setiap orang.

Syahid Di Medan Badar

Di antara 14 syuhada yang gugur di medan Badar, ada satu nama yang begitu menyentuh hati ialah Sa’ad bin Khaythamah RA.

Sa’ad adalah seorang pemuda yang belum berkahwin. Sebelum pertempuran, ayahnya, Khaythamah, ingin menyertai peperangan, tetapi Sa’ad berkata kepadanya: “Ayah, aku lebih berhak untuk pergi kerana aku belum berkahwin, sedangkan ayah masih memiliki tanggungan.”

Akhirnya, ayahnya memberi izin, dan Sa’ad berangkat ke Badar serta syahid di sana. Apa yang lebih menarik, Sa’ad merupakan seorang Ansar yang pernah menyediakan rumahnya sebagai tempat persinggahan Rasulullah ﷺ dan para sahabat Muhajirin ketika mereka mula tiba di Madinah.

Kemuliaan Ahli Badar

Mereka yang terlibat dalam Perang Badar mendapat keistimewaan yang luar biasa dalam Islam. Rasulullah ﷺ bersabda kepada para pejuang Badar:

اعْمَلُوا ما شِئْتُمْ فقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosa kamu.”

Ini menunjukkan betapa besarnya pengorbanan mereka dan betapa mulianya kedudukan mereka di sisi Allah SWT.

Iktibar daripada Peristiwa Badar

Perang Badar bukan sekadar catatan sejarah, tetapi ia mengajar kita beberapa pelajaran penting:

Pertama, kekuatan iman lebih besar daripada kuantiti senjata. Walaupun jumlah tentera Islam jauh lebih kecil berbanding tentera musyrikin, keimanan dan ketakwaan mereka menjadi sebab turunnya pertolongan Allah.

Kedua, doa adalah senjata utama orang Mukmin. Rasulullah ﷺ menunjukkan kepada kita bahawa doa yang penuh keikhlasan dan keyakinan kepada Allah SWT mampu mengubah keadaan yang tampak mustahil.

Ketiga, kezaliman tidak akan bertahan lama. Abu Jahal dan sekutunya yang selama ini menindas umat Islam akhirnya menerima balasan mereka. Ini menjadi pengajaran bahawa kezaliman tidak akan kekal selamanya.

Keempat, jihad dan pengorbanan untuk Islam adalah jalan kejayaan. Para sahabat sanggup meninggalkan keluarga, harta, dan keselesaan demi mempertahankan Islam. Pengorbanan seperti inilah yang memastikan kelangsungan agama Allah SWT.

Penutup

Peristiwa Badar tetap relevan hingga hari ini sebagai simbol perjuangan dan kemenangan Islam. Meskipun telah berlalu lebih dari 1400 tahun, tempias keberkatan dan ibrah dari peristiwa ini masih terasa dalam kehidupan kita.

Semoga kita semua mampu mengambil inspirasi daripada perjuangan Rasulullah ﷺ dan para sahabat, serta meneruskan semangat jihad dalam mempertahankan agama dan menegakkan kebenaran.

Allahumma sholli ‘ala Sayyidina Muhammad ﷺ.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top