Isu Riba Dalam Menukar Duit Raya

Isi Kandungan

Pendahuluan

Menukar duit raya merupakan amalan kebiasaan dalam masyarakat kita, di mana orang ramai ingin mendapatkan wang kertas baharu dalam denominasi tertentu untuk diberikan sebagai duit raya. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa pertukaran ini tertakluk kepada hukum al-sarf dalam Islam kerana ia melibatkan pertukaran mata wang yang termasuk dalam kategori item ribawi.

Artikel ini saya ringkaskan daripada perkongisan yang pernah dikongsi oleh asatizah kita dan saya tulis kembali dalam bentuk penulisan sendiri. Semoga penjelasan ini bermanfaat.

Hukum Asas dalam Pertukaran Wang (Al-Sarf)

Dalam Islam, pertukaran mata wang yang sama (contohnya ringgit ditukar dengan ringgit) mesti mematuhi dua syarat utama bagi mengelakkan unsur riba:

  1. Penyerahan mesti berlaku secara langsung (on the spot) – Kedua-dua pihak mesti menyerahkan wang masing-masing dalam satu sesi tanpa sebarang penangguhan. Jika terdapat penangguhan, ia akan menyebabkan riba nasa’.
  2. Pertukaran mesti dalam jumlah yang sama – Tidak boleh ada sebarang lebihan atau pengurangan dalam nilai pertukaran. Jika ada lebihan, ia dikategorikan sebagai riba fadhl.

Untuk memahami isu ini dengan lebih jelas, mari kita lihat beberapa senario yang biasa berlaku dalam pertukaran duit raya:

Senario 1: Pertukaran Ditangguhkan ke Hari Berikutnya

Situasi: Ahmad mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Ali. Ahmad menyerahkan duit terpakai kepada Ali pada hari ini, dan Ali menyerahkan duit baharu pada keesokan harinya.

Hukum: Pertukaran ini haram kerana berlaku riba nasa’, di mana terdapat penangguhan dalam penyerahan wang baharu. Menurut prinsip al-sarf, pertukaran mesti berlaku dalam satu majlis tanpa sebarang kelewatan.

Senario 2: Caj Tambahan untuk Pertukaran

Situasi: Hasan mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Abu. Abu bersetuju tetapi mengenakan caj RM10. Hasan membayar RM1010 kepada Ali dan menerima RM1000 duit baharu.

Hukum: Pertukaran ini haram kerana berlaku riba fadhl, di mana terdapat lebihan bayaran dalam pertukaran mata wang yang sama. Islam melarang sebarang bentuk lebihan dalam transaksi pertukaran wang yang sama jenis.

Senario 3: Menggunakan Wakil Dalam Pertukaran

Situasi: Si A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada si B. Si A mewakilkan si C untuk menukarkan duit dengan si B. Si C mengenakan caj RM10 kepada si A sebagai upah. Si C menukarkan duit dengan B tanpa penangguhan dan menyerahkan duit baharu kepada A.

Hukum: Harus, kerana transaksi al-sarf berlaku antara si B dan si C tanpa penangguhan dan tanpa lebihan dalam jumlah pertukaran. Caj RM10 yang dikenakan oleh si C kepada si A adalah upah wakalah (perwakilan), yang tidak termasuk dalam akad al-sarf.

Senario 4: Menukar Duit Melalui Pegawai Bank

Situasi: Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Bank XYZ. Dia menyerahkan duit kepada rakannya, Awang, yang bekerja di bank tersebut. Awang menukarkan duit di kaunter dan menyerahkannya semula kepada Maslan pada petang hari yang sama.

Hukum: Pertukaran ini dibenarkan dengan syarat transaksi di kaunter bank berlaku secara spot. Ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, ia dikira sebagai wakalah (perwakilan) kerana Awang bertindak atas kapasiti peribadi, bukan sebagai pegawai bank ketika menerima wang daripada Maslan.

Senario 5: Bayaran Kos Penghantaran Duit Raya

Situasi: Husin mahu menukar RM1000 daripada Ahmad tetapi meminta Ahmad datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran. Ahmad bersetuju dan menaiki Grab dengan caj RM10. Setelah tiba, pertukaran RM1000 berlaku tanpa lebihan. Husin membayar caj Grab RM10 kepada Ahmad.

Hukum: Diharuskan kerana bayaran RM10 bukan caj lebihan dalam pertukaran wang, tetapi kos sebenar yang dibayar oleh Ahmad untuk perjalanan atas permintaan Husin.

Kesimpulan

Menukar duit raya bukanlah sesuatu yang haram jika ia dilakukan mengikut hukum al-sarf. Oleh itu, masyarakat perlu berhati-hati dan memastikan:

  1. Pertukaran berlaku dalam satu majlis tanpa penangguhan
  2. Jumlah pertukaran adalah sama tanpa sebarang lebihan
  3. Jika menggunakan orang tengah (wakil), upahnya tidak boleh dimasukkan dalam akad al-sarf

Mengelakkan riba adalah tanggungjawab setiap Muslim. Rasulullah ﷺ bersabda:

“Allah melaknat orang yang memakan riba, yang memberi riba, pencatatnya, dan dua saksinya.” (HR Muslim)

Semoga artikel ini membantu kita memahami hukum menukar duit raya dengan lebih jelas dan menjauhi sebarang unsur riba. Jauhi riba, jauhi daripada berperang dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top